Khamis, 28 Disember 2017


MENGAPA MATA TAK BOLEH MELIHAT ALLAH?


“Saya rasa, Allah bagi semua benda supaya kita percaya Dia. Bagi Quran, bagi alam semesta dan macam-macam lagi. Tapi satu sahaja yang Allah tak bagi. Dan saya rasa, oleh kerana Allah tak bagi yang ini, saya susah nak bulatkan kepercayaan saya kepada-Nya. Kenapa Allah tak bagi kita tengok Dia?” tanya Salina.

Sepi seketika.
Nampaknya semakin ramai yang menyertai perbualan kami. Bagus sebenarnya dikosongkan waktu antara Maghrib dan Isyak kerana berdasarkan pengalaman saya, inilah waktu santai yang bisa mencungkil pelbagai cerita yang tidak boleh dicungkil di dewan kuliah.
“Awak pelajar kelas sains ke?” saya menyoal.
“Ya” jawabnya.
“Ok, ustaz jawab ikut pelajaran sains awak ya!” saya memulakan jawapan.
Dia mengangguk.

Walaupun sebenarnya, jika saya kena jawab cara ‘sastera’, saya pun tidak tahu macam mana.
“Untuk membolehkan kita melihat sesuatu, benda itu mestilah lemah. Lemah dalam erti kata ia terbatas, terikat dan perlu tunduk kepada undang-undang tertentu, yang diri kita pun terikat dengannya. Awak rasa undang-undang apa?” saya mengujinya secara bertahap.
“Sunnatullah!” katanya. Mungkin memetik kuliah saya sebelumnya.

“Kita ketepikan istilah Sunnatullah. Kita guna istilah yang awak lebih familiar. Benda yang kita nak tengok, ia kena lemah dalam erti kata, ia kena tunduk dan tertakluk kepada hukum sains. Ia perlu berimej. Cahaya dan rupanya mestilah boleh dilantun ke mata, dicerap oleh mata, dihantar ke otak dan ditafsir sebagai apa dan apa. Kita tidak nampak Allah sebab Allah berada ‘di atas’ undang-undang tersebut. Beyond the limit. So, apa sahaja yang mampu dilihat oleh mata, adalah lemah, dan ia adalah makhluk, bukan Tuhan. Sebab ia tertakluk kepada hukum alam iaitu Sains” saya mencuba perlahan-lahan.

“Maksud ustaz, bukan Allah tak bagi kita tengok Dia, tapi kita yang tak mampu tengok Dia?” tanya beliau.

“EXACTLY!!! Benar. Betul sekali. Keinginan kita untuk melihat Allah itu memerlukan kita mempunyai tool yang tiada di dalam kehidupan sekarang ini. Kita dan kemampuan kita kecil. Tidak cukup untuk melihat yang Maha Besar” saya jelaskan.

Terpana dengan kesimpulan yang dibuat oleh pelajar itu tadi.
“Itulah makna kita menyebut Allahu Akbar!” saya menambah.
Beliau mengangguk.
“Awak rasa macam mana?” saya menyoal.
“Logik. Ok, thanks ustaz. Tu ramai lagi nak tanya soalan kepada ustaz. Saya minta diri dulu” katanya kepada saya. Beliau bangun meminta diri.


Kredit: Ustaz Hasrizal Jamil. SAIFULISLAM.COM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan